Pertuduhan bermotif politik

0
3

BEKAS Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sekali lagi mendakwa dua pertuduhan tambahan baharu terhadap beliau hari ini bermotifkan politik.

Beliau berkata, dua pertuduhan itu adalah penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan yang tidak dipilih rakyat untuk mencemarkan dan merosakkan reputasi dirinya.

Guan Eng mendakwa terdapat empat percanggahan atau kontradiksi dalam dua pertuduhan hari ini terhadapnya.

“Pertama, bagaimana mungkin berlakunya rasuah ketika tiada wang suapan yang dijumpai dalam pemilikan saya, dan isteri saya tidak memiliki wang tunai ratusan juta, barang kemas mahal dan ratusan beg tangan berjenama?

“Kedua, bagaimana mungkin berlakunya rasuah atau penyalahgunaan kuasa apabila projek terowong tersebut dianugerahkan melalui tender terbuka dan keputusan dibuat oleh pegawai kerajaan negeri, EXCO atau jawatankuasa teknikal khusus yang relevan dan tidak diputuskan oleh saya seorang?

“Ketiga, bagaimana mungkin berlakunya rasuah atau penyalahgunaan kuasa apabila pembayaran yang dibuat kepada CZBUCG perlu mendapat kelulusan daripada pegawai kerajaan negeri Pulau Pinang, setelah mendapat persetujuan daripada firma perunding kejuruteraan profesional bebas yang dilantik melalui tender terbuka?

“Keempat, bagaimana mungkin berlakunya rasuah apabila CZBUCG pada tahun 2019, secara terbuka melalui media menafikan memberi rasuah kepada mana-mana pegawai kerajaan negeri Pulau Pinang, dan bahawa SPRM telah mengesahkan syarikat dan pengerusinya tiada sebarang perlakuan rasuah atau korupsi?,” soalnya menerusi hantaran di Facebook.

Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, berani kerana benar. Amar makruf nahi mungkar. – Malaysiapost