SEJAK inisiatif gelembung pelancongan Langkawi dilaksanakan 16 September lalu, tiada kes jangkitan Covid-19 dilaporkan di pulau peranginan itu yang membabitkan sektor pelancongan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri, berkata perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
“Terima kasih Tan Sri Dr Noor Hisham dan semua Team Kementerian Kesihatan (KKM) yang bersama MOTA memastikan projek rintis gelembung pelancongan Langkawi berjalan lancar dengan memastikan pelancong dan penduduk Langkawi selamat agar pulau peranginan itu kekal hijau.
“Menurut beliau, tiada kes dari sektor pelancongan. Alhamdulillah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Langkawi akan menjadi kayu pengukur bagi pembukaan sektor pelancongan lain dalam negara selepas menjadi projek rintis gelembung pelancongan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Semua negeri di Malaysia akan menjadikan Langkawi sebagai contoh bagi sektor pelancongan dan sekiranya berjaya maka banyak lagi negeri-negeri di Malaysia akan membuka sektor pelancongan. – Malaysiapost

