Kit ujian kendiri Covid-19: Kerajaan teliti dulu sebelum tentukan harga

0
2

[PARLIMEN] KERAJAAN perlu melakukan pertimbangan teliti dan tidak tergesa-gesa dalam menetapkan harga baharu kit ujian kendiri Covid-19.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementerian perlu mengambil kira kepentingan pengguna dan industri bagi mewujudkan situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak.

“Dalam masa kita memberi perlindungan kepada pengguna agar mereka sentiasa sihat dan bebas daripada jangkitan Covid-19, kementerian perlu juga mengambil kira sudut pandangan industri berkaitan agar mereka dapat meneruskan kelangsungan perniagaan.

“Kementerian akan terus mengadakan sesi libat urus bersama Kementerian Kesihatan (KKM) serta mengambil kira perbincangan dan pandangan pemegang taruh dalam industri kit ujian kendiri Covid-19 termasuk fasiliti farmasi dan klinik.

“Penelitian dari segi kos pengeluaran dan pengimportan perlu juga diambil kira sebelum kita merumuskan harga maksimum baharu,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang memintanya menyatakan sama ada KPDNHEP akan menurunkan lagi harga maksimum kit pengujian kendiri memandangkan ia menjadi keperluan penting ketika ini.

Kee Chin berkata penurunan harga secara berperingkat diyakini membolehkan lebih ramai rakyat mampu membelinya, khasnya golongan berpendapatan rendah (B40) kerana harga siling RM19.90 masih membebankan kepada mereka yang memiliki ramai anak. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here