3 pegawai ditahan, SPRM dituntut lebih telus – Puad

0
2
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dituntut supaya lebih telus berhubung kes salah laku atau jenayah membabitkan pegawai agensi penguatkuasaan terbabit.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, mendakwa agensi berkenaan tidak telus apabila hanya mengeluarkan kenyataan selepas kes berkenaan tular di media sosial dan tempoh reman ketiga-tiga pegawai terbabit tamat.

“Memang pelik, SPRM keluar kenyataan media, tiga pegawai kanannya direman hanya setelah tempoh reman pada 14 hingga 19 September tamat.

“Dalam tempoh tersebut tiada berita dan tiada gambar mengenai penahanan mereka, apatah lagi punca mereka direman,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, jika kes membabitkan pesalah lain sudah pasti gambar mereka dengan pakaian lokap SPRM berwarna jingga dan bergari akan tersiar.

“Sebelum itu tular di media sosial, tiga pegawai SPRM ditahan kerana mencuri wang yang dirampas dari Datuk Hasanah Abd Hamid bekas Ketua Pengarah MEIO (Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia) pada Ogos 2018.

“Dalam kenyataan media SPRM semalam disebut, reman dibuat atas tuduhan salah guna kuasa. Tetapi di media sosial mereka didakwa mencuri duit rampasan SPRM.

“Apakah ada ‘cover up’. Apatah lagi duit curi sepatutnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang siasat bukan siasatan dalaman oleh SPRM,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan ketelusan agensi penguatkuasaan berkenaan yang dilihat turut terbabit dalam beberapa kes kontroversi sebelum ini.

“Pagar SPRM pun boleh bolos bila dua bodyguard Datuk Seri bantu bosnya yang terlibat Macau Scam melarikan diri.

“Banyak perkara perlu dibaiki terhadap institusi keadilan negara. Umno sendiri kemuka writ saman terhadap PDRM kerana mendakwa RM40.3 Juta duit parti yang disita telah hilang,” katanya.

Mohd Puad berkata, Ahli-ahli Parlimen wajar menuntut ketulusan SPRM, namun malangnya ia tidak dimasukkan dalam senarai memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH).

SPRM semalam dalam satu kenyataan mengesahkan telah menahan tiga pegawainya bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes terhadap seorang bekas ketua jabatan.

Ketiga-tiga pegawai terbabit telah dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya dan ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama enam hari bermula 14 hingga 19 September 2021.

Menurut SPRM, siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan kerana akan menjejaskan siasatan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here