KESELAMATAN sosial pekerja sektor pengangkutan seperti pemandu bas, teksi dan e-hailing antara fokus Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam Bajet 2022 yang akan dibentangkan tidak lama pagi.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata perkara itu dibincangkan beliau bersama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong semalam.
Katanya antara topik lain yang dibincangkan adalah usaha seterusnya dalam meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam dan memantapkan lagi penggunaan kenderaan berteknologi hijau.
⠀
“Di bawah pakej Pemerkasa +, kerajaan telah menyalurkan bantuan one-off RM500 kepada pemandu teksi dan e-hailing, kereta sewa, bas sekolah dan bas persiaran dengan jumlah keseluruhan RM68 juta bagi membantu mereka yang terkesan semasa pandemik Covid-19.
“Selain itu, kerajaan memperkenalkan Pas Perjalanan Tanpa Had MY30, sebuah program pas perjalanan untuk rakyat, dirangka khas untuk meringankan kos perjalanan harian, di samping menggalakkan penggunaan pengangkutan awam. ⠀
⠀
“MOF akan meneliti cadangan yang diaju pihak MOT untuk belanjawan nanti, bagi memastikan aspek pengangkutan awam akan terus ditambah baik demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya. – Malaysiapost

