Dua polis antara ditahan terbabit parti liar

0
2

POLIS menyerbu sebuah residensi mewah di Changkat Raja Chulan, Kuala Lumpur dan menahan 14 individu dipercayai terbabit dalam parti liar yang dianjurkan di kediaman berkenaan, Sabtu lalu. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sahar Abd Latif, berkata serbuan jam 9.30 malam turut menemui dadah jenis ketamin seberat 5.56 gram dianggar bernilai RM834. 

Menurutnya, siasatan awal mendapati penganjur parti liar terbabit adalah seorang lelaki berusia 39 tahun yang bertujuan untuk bertemu kenalan dan seterusnya berhibur. 

“Tangkapan membabitkan tujuh lelaki dan tujuh wanita warga tempatan berusia 20 hingga 40 tahun. 

“Pengunjung parti liar itu dijemput melalui panggilan telefon oleh penganjur dan tanpa sebarang bayaran dikenakan,” katanya dalam satu kenyataan. 

Beliau berkata, hasil siasatan juga mendapati premis mewah berkenaan disewa penganjur dengan harga RM220 sehari. 

“Semakan lanjut mendapati dua daripada pengunjung yang menyertai parti liar berkenaan adalah anggota polis berpangkat Lans Koperal dan Konstabel sokongan dari Cawangan Tugas Am. 

“Parti liar ini membabitkan dadah jenis ketamin dan semua yang ditahan didapati positif dadah jenis sama hasil ujian saringan awal. 

“Semua yang ditahan turut dikenakan kompaun RM4,000 seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang kesemuanya berjumlah RM56,000,” katanya. 

Menurutnya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta pemilik premis dan penganjur juga boleh dikenakan tindakan dibawah Seksyen 13(c) akta sama. 

“Polis memandang serius aktiviti parti liar dan memohon pihak pengurusan hotel, servis apartmen dan kondominium untuk menyalurkan maklumat mengenai aktiviti berkenaan,” katanya. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here