
LANGKAH kerajaan menjadikan Langkawi sebagai projek pertama rintis gelembung pelancongan mula menunjukkan kejayaan, kata Datuk Seri Nancy Shukri.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu berkata, sejak dibuka Khamis lalu, kedatangan pelancong ke pulau peranginan itu merekodkan 9,500 pengunjung.
Katanya, setakat ini tiada kes Covid-19 direkodkan dalam kalangan pelancong seperti dimaklumkan Pengarah Kesihatan Kedah, Dr. Othman Warijo.
“Kita dapat melihat potensi di Pulau Langkawi menjadi model yang telah menunjukkan kejayaan.
“Secara umumnya, destinasi pelancongan lain terutama di kawasan seperti Genting Highlands dan Fraser Hills sudah menjangkau 100 peratus kadar vaksinasi lengkap dan mereka sudah bersedia untuk dibuka.
“Esok, insya-Allah akan diadakan mesyuarat bagi membincangkan mengenai pembukaan perjalanan pelancongan antara negeri,” katanya dalam program Malaysia Petang ini yang disiarkan Bernama TV, hari ini.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebelum ini menyasarkan kira-kira 200,000 pelancong domestik mengunjungi Langkawi dari 16 September hingga Disember 2021 selepas industri pelancongan pulau itu dibuka semula di bawah projek rintis gelembung pelancongan.
MOTAC juga menyasarkan kira-kira 30,000 pelancong berkunjung ke pulau peranginan itu sepanjang September. – Malaysiapost
