KELONGGARAN rentas negeri antara agenda yang akan dibincangkan dalam Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19 esok, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Hishammuddin berkata, situasi fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) di negeri tertentu antara perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum memuktamadkan kelonggaran rentas negeri.
Justeru, beliau berkata, sebarang syor berkenaan kelonggaran itu akan dibawa ke Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 untuk dimuktamadkan.
“Apa keputusan yang kita perlu buat akan dibawa ke Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Tapi syornya datang dari menteri-menteri bertanggungjawab daripada aektor-sektor tertentu untuk dipertimbangkan,” katanya seperti dilaporkan Malaysia Gazette.
Hishammuddin berkata, mesyuarat tersebut juga akan memfokuskan tentang pengurangan kepada 10 prosedur operasi standard (SOP) berbanding 181 yang sedang dilaksanakan ketika ini.
Katanya, pengurangan SOP perlu diperincikan untuk memastikan tiada kekeliruan, lapor Malaysia Gazette.
“Yang 181 kepada 10 SOP ini merujuk kepada apa yang telah kita umum sebelum ini.
“Sepatutnya telah dimaklumkan kepada orang ramai tapi kita faham banyak SOP mengelirukan jadi usaha kita adalah memudahkan supaya orang ramai faham apa yang telah diputuskan,” katanya. – Malaysiapost

