Waspada perubahan cuaca susulan peralihan monsun – MET Malaysia

0
2

ORANG ramai dinasihatkan supaya lebih berwaspada ketika fasa peralihan monsun yang dijangka bermula 24 September ini sehingga awal November 2021.

Permulaan fasa peralihan monsun itu menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang bermula sejak 19 Mei lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) Muhammad Helmi Abdullah, berkata semasa peralihan monsun berkenaan, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah.

“Keadaan ini amat sesuai untuk berlaku kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa singkat.

“Kejadian ini berlaku terutama pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kawasan lain yang terkesan adalah Barat Sabah serta Barat dan Tengah Sarawak.

Beliau berkata, keadaan cuaca berkenaan berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.

“Orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca dikeluarkan Met Malaysia.

“Ikuti perkembangan cuaca semasa melalui laman web rasmi MET Malaysia, aplikasi myCuaca dan media sosial rasmi jabatan.

“Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline jabatan 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here