PDRM tidak terima laporan kes pegawai SPRM curi barang kes RM25 juta

0
3
Polis Di Raja Malaysia

TIADA sebarang laporan diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung penahanan reman tiga pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa mencuri barang kes membabitkan wang tunai AS$6 juta (RM25 juta).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata setakat ini pihaknya tidak menerima laporan berhubung kes curi barang kes milik seorang individu yang pernah disiasat SPRM seperti yang tular di media sosial.

Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum berkaitan berita yang tular mengatakan tiga pegawai kanan SPRM direman kerana terbabit mencuri wang itu.

“PDRM ingin mengesahkan bahawa sehingga hari ini tiada sebarang laporan polis diterima berhubung kejadian ini.

“PDRM juga menasihatkan orang ramai supaya menjadi pengguna media sosial yang bijak dan bertanggungjawab serta tidak menyebarkan berita tidak benar,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati sengaja menyalah guna media sosial untuk menyebarkan berita palsu.

Terdahulu, tular satu laporan di sebuah blog mendakwa tiga pegawai kanan SPRM direman enam hari bermula 14 September lalu bagi membantu siasatan berhubung kecurian wang tunai milik seorang individu.

Individu terbabit dikatakan pernah disiasat kerana menyalah gunakan kuasa dan penyelewengan dana pada 2018 dan wang tunai berkenaan didakwa dirampas oleh SPRM di sebuah kondominium di Cyberjaya.

Penulis blog berkenaan mendakwa individu terbabit membuat satu laporan polis, namun polis tidak berani menjalankan siasatan, sebaliknya membiarkan SPRM menjalankan siasatan dalaman. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here