Covid-19: Jumlah pesakit sembuh atasi jangkitan harian

0
2
Dianggarkan seramai 2000 pesakit positif Covid-19 hadir ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Melawati Shah Alam hari ini

PERKEMBANGAN pandemik Covid-19 di Malaysia menunjukkan petanda positif apabila jumlah harian pesakit yang pulih terus mengatasi jangkitan baharu hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat jam 12 tengah hari ini, seramai 17,205 pesakit disahkan sembuh berbanding 15,549 kes baharu positif Covid-19.

Katanya, perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif individu yang pulih daripada wabak berkenaan kini seramai 1,840,453 orang.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 1,165 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) merangkumi 888 kes disahkan Covid-19 manakala 277 kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

“Sebanyak 689 kes memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 401 kes positif sementara 288 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan hari ini, 263 kes atau 1.7 peratus adalah kategori tiga (radang paru-paru), empat (perlu bantuan oksigen) dan lima (perlu bantuan pernafasan) manakala baki 15,286 kes atau 98.3 peratus dalam kategori satu (tidak bergejala) dan dua (bergejala ringan).

Beliau berkata, daripada jumlah kes baharu itu juga, lima adalah kes import manakala 15,544 kes penularan dalam negara melibatkan 13,954 warganegara.

Katanya, 16 kluster baharu dikesan dalam tempoh 24 jam iaitu 10 kluster di tempat kerja, empat kluster komuniti dan dua kluster kumpulan berisiko tinggi.

Dr Noor Hisham berkata, kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R-naught (Rt) di Malaysia semalam adalah 0.95 dengan semua negeri mencatat bacaan bawah 1.0 kecuali Sarawak yang mencatatkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.11 diikuti Terengganu (1.05), Perak dan Pahang (1.04), Johor (1.01) dan Pulau Pinang (1.00). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here