POLIS perlu menyiasat dengan terperinci pihak yang membuat jalan berbonggol di Jalan Kuala Krai-Kota Bharu dekat Kampung Bunut Payong di Kota Bharu, yang didakwa punca seorang jururawat maut akibat kemalangan semalam.
Peguam kanan, Muhammad Hasif Hasan berkata siasatan perlu dijalankan dari segala aspek sama ada spesifikasi, pencahayaan di waktu malam dan tanda amaran (signage) yang diletakkan sudah memadai atau sebaliknya.
“Jika ada kes kecuaian maka pihak pendakwaraya juga boleh membuat dakwaan atas kecuaian dan menghukum pihak yang terlibat di mahkamah. Seksyen 304(A) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian dengan cuai mungkin releven pada pandangan saya.
“Satu nyawa terkorban perlu diberi perhatian oleh pihak yang terlibat. Salam penuh takziah buat keluarga arwah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Semalam, media melaporkan seorang jururawat maut selepas kereta dipandunya terbabas merempuh tiang elektrik ketika melalui jalan berbonggol di Jalan Kuala Krai-Kota Bharu dekat Kampung Bunut Payong.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang itu, W Nurintan Farahida W Hasan, 36, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud dilaporkan berkata siasatan awal mendapati, mangsa dalam perjalanan dari arah Wakaf Che Yeh ke Kota Bharu untuk ke tempat kerjanya di Hospital Raja Perempuan Zainab II.
Katanya, apabila melalui laluan selekoh, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan ketika sampai di satu bonggol yang terletak di tengah jalan raya.
“Insiden itu menyebabkan kereta berkenaan dipercayai terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh sebatang tiang elektrik dan bahagian hadapan sebuah kedai,” katanya. – Malaysiapost
Kredit Foto: Harian Metro

