Dinamik politik berubah, bersaing begitu cepat – Tok Mat Hasan

0
2

POLITIK negara kini telah menjadi suatu yang amat rencam dan keadaannya tidak seperti dahulu, iaitu satu dinamik yang baharu, kata Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan. 

“Political dinamik… ia berubah dan bersaing begitu hebat sekali sehingga kadang-kadang ia berubah setiap hari. Seperti contoh hari ini lain isu dan esok pagi pun sudah lain isu, kerana keadaan memerlukan untuk kita mengubah pandangan dan pendirian. 

“Kita memerlukan satu keanjalan yang amat tinggi kerana kita tidak boleh duduk dalam satu situasi selesa dengan sebegitu lama tanpa memikirkan perubahan di luar dengan begitu rancak. 

“Kalau ini berlaku, Umno mungkin tidak mampu untuk bersaing dan berubah. Berubah bukan kerana kita hendak ubah tetapi terpaksa kerana keadaan yang berubah begitu cepat, kalau tidak akan ketinggalan,” katanya memetik laporan Umno Online. 

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian hadiah pertandingan Pidato Online anjuran PUMAS peringkat Negeri Sembilan, semalam. 

Ahli Dewan Undangan (Adun) Rantau itu berkata Umno adalah sebuah organisasi besar dan kepimpinannya harus mengikut keadaan semasa agar rakyat sentiasa berpaut kepada parti tersebut. 

“Saya rasa kalau Umno mahu menjadi sebahagian pemain utama politik negara, kepimpinan tidak boleh lagi mengamalkan cara lama dan memastikan Umno terus boleh bersaing, menerima dan juga memberi supaya dapat dilihat sebagai satu institusi yang boleh menjadi tempat pautan kepada rakyat. 

“Inilah tempat untuk orang berpaut kerana tidak begitu ‘legit’ dan dalam masa sama mempunyai suatu prinsip, inilah yang Umno sedang lakukan dan Alhamdulillah, perlahan-perlahan Umno lakukan dan akhirnya berjaya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here