Pelancong positif Covid-19 boleh tangguh perjalanan ke Langkawi

0
2
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri bercakap pada sidang media status terkini gelembung perjalanan pelancongan domestik di Aswara. MOTAC

PIHAK hotel, syarikat penerbangan serta pengusaha feri akan membenarkan pelancong yang dijangkiti Covid-19 untuk menangguhkan percutian ke Langkawi sehingga selesai tempoh kuarantin.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri berkata pihak hotel dan syarikat penerbangan telah memberi jaminan bahawa pelancong yang terbabit boleh melancong semula pada suatu tarikh yang akan ditentukan kelak.

“Alhamdulillah hasil perbincangan bersama pihak penerbangan dan wakil pengusaha hotel, MOTAC telah mendapat komitmen daripada syarikat penerbangan Air Asia, MAS, MALINDO serta Konsortium Feri Langkawi.

“Begitu juga dengan hotel yang berdaftar dengan Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) dan Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO) yang membenarkan pelancong menangguhkan perjalanan mereka.

“Sehingga selesai tempoh kuarantin, mereka boleh melancong semula ke suatu tarikh yang akan ditentukan kelak, tertakluk kepada terma dan syarat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan berhubung status pelancong yang didapati positif Covid-19 sebelum berlepas ke Langkawi yang kini memasuki hari ketiga program perintis gelembung pelancongan.

Semalam empat kes positif Covid-19 dikesan pada hari kedua program perintis gelembung pelancongan di Langkawi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, empat kes positif tersebut dikesan hasil saringan di pintu masuk udara dan laut ke pulau peranginan tersebut.

“Sejumlah 3,454 pelancong disaring. Empat kes positif dikesan iaitu dua di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) Feri Kuala Perlis, manakala masing-masing satu di PMA Lapangan Terbang Pulau Pinang Pinang dan PMA Subang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here