SEBANYAK empat kes positif Covid-19 dikesan pada hari kedua projek rintis gelembung pelancongan di Langkawi.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, empat kes positif tersebut dikesan hasil saringan di pintu masuk udara dan laut ke pulau peranginan tersebut.
“Sejumlah 3,454 orang pelancong berjaya disaring. Empat kes positif dikesan iaitu dua di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) Feri Kuala Perlis, manakala masing-masing satu di PMA Lapangan Terbang Pulau Pinang Pinang dan PMA Subang,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Terdahulu, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Langkawi menerusi data yang dikongsi di Facebook memaklumkan sebanyak 57 kes baharu jangkitan Covid-19 dicatatkan di Langkawi pada hari ini.
Katanya, sebanyak 22 kes direkodkan di Kuah, manakala Ayer Hangat (15), Padang Matsirat (13), Ulu Melaka (4), Kedawang (2) dan satu kes di Bohor. – Malaysiapost

