Ismail Sabri faham keperluan Sabah, Sarawak – PBS

0
3

JAMINAN dan peruntukan pembangunan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob adalah bukti beliau memahami keperluan Sabah dan Sarawak.

Merujuk kepada peruntukan pembangunan diumumkan pada sambutan Hari Malaysia di Kota Kinabalu semalam, Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Joniston Bangkuai juga percaya lebih banyak khabar positif akan diumumkan tidak lama lagi.

“Kita amat berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana pengumuman itu bukan hanya mencerminkan beliau memahami keperluan Sabah dan Sarawak, tetapi mengundang lebih banyak berita baik, terutama berkaitan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar itu menambah jaminan Ismail Sabri untuk terus menumpu perhatian pada keperluan dan hak rakyat Sabah serta Sarawak terbukti menerusi usaha untuk menyelesaikan isu-isu MA63 yang tertunggak melalui Majlis Khas MA63 (MKMA63), yang dipengerusikan Perdana Menteri sendiri.

Tambahnya, Majlis Khas tersebut yang memperlihatkan penglibatan Ketua Menteri Sabah dan Sarawak dan lapan menteri Persekutuan, ditubuhkan oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) terdahulu untuk mengkaji, meneliti dan mencari penyelesaian terhadap tuntutan dan hak-hak Sabah dan Sarawak.

“Isu MA63 bukanlah perkara baharu. Sebenarnya, ia perjuangan utama PBS sejak penubuhannya 36 tahun lalu. Malah Perdana Menteri mengakui isu ini sering dibangkitkan menjelang Hari Malaysia.

“Tetapi jaminan Perdana Menteri bahawa segala tuntutan di bawah MA63 akan diteliti, dibincang dan diselesaikan menunjukkan kesungguhan beliau untuk memenuhi tuntutan kedua-dua wilayah, dan rakyatnya,” katanya.

Joniston berkata pemimpin Sabah dan Sarawak ingin jaminan tindakan untuk mengubal Pindaan Perkara 1 (2) dan Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan untuk status yang sama rata dan untuk mengkaji semula pemberian geran khas untuk kedua-dua wilayah seperti dinyatakan dalam Perkara 112D dan Jadual 10 dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kami juga bersetuju dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengenai pentingnya memastikan isu MA63 yang belum diselesaikan dapat diberi perhatian dengan serius.

“Namun, kami yakin dengan pengalaman dan pengetahuan Presiden (PBS) yang meluas mengenai perkara ini, sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), beliau akan memberi tumpuan semaksimumnya agar usaha melaksanakan apa yang termaktub dalam MA63 dapat dimuktamadkan,” tambahnya.

Mengenai peruntukan pembangunan, Joniston berkata, pengumuman Perdana Menteri sebanyak RM4.66 bilion di bawah Rolling Plan 1 2021, Rancangan Malaysia ke-12 untuk meningkatkan pembangunan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat Sabah turut menunjukkan beliau menyedari akan keperluan infrastruktur di Sabah dan Sarawak, terutama di kawasan luar bandar.

“Infrastruktur luar bandar antara masalah yang perlu ditangani, terutama jalan raya, elektrik dan bekalan air bersih.

“Di samping itu, Sabah berhak mendapat peruntukan RM3.61 bilion melalui Pelan Jaringan Digital Negara (JENDELA) untuk meningkatkan lagi akses internet di wilayah ini, yang mana masih kurang terutama di pendalaman yang mempunyai liputan internet teruk,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here