GKP 4.0 dibayar mulai Selasa ini – PM

0
2

KERAJAAN terus komited menyokong sektor perniagaan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro, dengan menyalur bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) mulai Selasa ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bantuan itu akan memberi manfaat kepada lebih sejuta PKS mikro, bagi meringankan beban kewangan mereka dalam mengharungi tempoh yang masih mencabar.

Katanya, GKP 4.0 akan dibayar dua kali iaitu pada bulan ini berjumlah RM500 dan RM500 lagi pada November 2021.

“Inisiatif ini melibatkan penerima sedia ada GKP 1.0, GKP 2.0, GKP 3.0 dan penerima baharu GKP 4.0, dengan implikasi kewangan sebanyak RM500 juta.

“Pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan dalam sistem GKP. Semakan status kelulusan GKP 4.0 boleh dibuat mulai 20 September 2021 melalui Portal GKP, iaitu https://gkp.hasil.gov.my,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Secara keseluruhan, Ismail Sabri berkata, jumlah peruntukan yang telah dan akan disalurkan kepada lebih sejuta PKS mikro di bawah GKP semenjak Covid-19 melanda negara adalah RM6.08 bilion.

Beliau seterusnya berharap bantuan itu dapat menggerak dan memulihkan kembali sektor PKS yang merupakan enjin pertumbuhan ekonomi Keluarga Malaysia.

“Kerajaan memberi keutamaan kepada pemain industri ini kerana mereka merupakan antara sektor paling terjejas sepanjang pandemik.

“Semoga dengan bantuan ini, peniaga kecil seperti pemilik gerai makanan, kedai gunting rambut, bengkel dan kedai kek dapat mengurangkan beban dan membantu aliran tunai,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here