Perlis cadang pelancong keluar dari Langkawi jalani saringan

0
2
polis_pkp_kota_setar

KERAJAAN Perlis menggesa kementerian atau urus setia berkaitan dengan projek perintis gelembung pelancongan di Langkawi mempertimbangkan keperluan melakukan ujian saringan Covid-19 sekali lagi apabila pelancong pulang dari pulau itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Asmaiza Ahmad berkata langkah tersebut bagi memastikan kesihatan pelancong berada pada tahap baik apabila singgah ke Perlis setelah pulang dari percutian.

Katanya, difahamkan ujian pengesanan Covid-19 tidak dilakukan di Jeti Kuah walaupun pelancong sudah tinggal di Langkawi selama tiga hari, lapor Utusan Malaysia.

“Untuk proses ujian pengesanan Covid-19 di sini digunapakai sehingga 48 jam. Kalau mereka tinggal di sana (Langkawi) dalam tiga hari mereka perlulah mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti dilakukan di sini (Perlis).

“Bagi yang membuat perjalanan balik hari mungkin tiada masalah. Jika ujian tersebut dijalankan maka apabila mereka pulang ke sini dalam keadaan selamat dan boleh ke mana-mana sahaja,” katanya kepada media hari ini.

Mengulas berkenaan keadaan Terminal Feri Kuala Perlis, Asmaiza berkata lokasi itu lebih tersusun dan penumpang yang datang juga lebih bersedia serta tiada yang beratur panjang seperti semalam.

Beliau menjelaskan, situasi yang berlaku semalam mungkin kerana ia perkara yang baharu dan orang ramai panik serta tidak tahu apa yang mereka perlu lakukan.

“Saya harap perkembangan ini akan berterusan dan orang ramai janganlah rasa terbeban untuk mengikut SOP ditetapkan kerana ini untuk menjaga diri sendiri dan orang lain.

“Ini kerana, kita sudah mahu masuk dalam keadaan yang dipanggil endemik yang mana kita kena hidup bersama-sama dengan Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here