Foto Kredit: News Straits Times
POLIS Sabah memberi amaran kepada calon, ahli parti dan orang awam supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 sepanjang proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali, berkata PRN akan bermula esok dengan proses penamaan calon dan kempen berlanjutan selama dua minggu sebelum hari pengundian pada 26 September ini.
Beliau berkata, aktiviti berarak dan berkumpul oleh penyokong parti adalah tidak dibenarkan sama sekali di mana-mana lokasi sepanjang hari penamaan calon.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) ingin mengingatkan kepada semua calon dan ahli parti supaya sentiasa mematuhi arahan semasa, undang-undang dan SOP bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.
“Dalam proses penamaan calon, SOP menetapkan hanya tiga orang dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon untuk proses penamaan calon,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian, hari ini.
Hazani berkata, memandangkan pandemik COVID-19 terutama di Sabah sedang meningkat, polis mengingatkan masyarakat negeri ini supaya mematuhi arahan PDRM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Orang ramai perlu mengambil perhatian terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berkuat kuasa.
“PDRM amat menggalakkan calon parti bertanding dalam PRN Sabah supaya menggunakan media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan lain-lain aplikasi untuk berkempen,” katanya.
Beliau berkara, calon juga perlu mengingatkan penyokong masing-masing supaya tidak melakukan vandalisme atau khianat kepada poster dan bendera pihak lawan.
“Orang ramai diminta supaya tidak menyalahgunakan multimedia untuk menimbulkan isu sensitif seperti perkauman, agama dan berita palsu.
“Sebarang tindakan provokasi dan menjatuhkan reputasi lawan harus dielakkan kerana ia boleh menimbulkan kekacauan serta ketenteraman awam,” katanya.-Malaysiapost

