MALAYSIAN Football League (MFL) hari ini mengumumkan hanya 10 pasukan bakal bertanding dalam divisyen kedua Liga Malaysia, Liga Premier 2022.
Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam yang menyatakan ia berikutan Perak FC II tersingkir secara automatik ke saingan Liga M3 selepas Parent Club, Perak FC turun pangkat bermain di Liga Premier musim depan.
Pada masa sama, katanya, Amateur Football League (AFL) telah membuat pengumuman pembatalan Liga M3 pada 14 September 2021 menyaksikan tiada pasukan daripada liga berkenaan dapat dipromosikan ke Liga Premier 2022 secara merit pertandingan.
Justeru, MFL membuat keputusan untuk menganjurkan Liga Premier dengan jumlah 10 pasukan sahaja pada tahun hadapan.
“Perak FC secara rasmi tersingkir daripada Liga Super pada musim depan akan bermain di Liga Premier 2022 di mana Parent Club dan Reserve Team tidak boleh bersaing dalam satu kejohanan sama selaras Peraturan 3.19.6 Perkara 1.1 dan 1.2.
“Format Liga Premier sebelum ini menampilkan 12 pasukan tetapi MFL mengambil maklum pengumuman pembatalan Liga M3 oleh AFL pada 14 September lalu, menyaksikan tiada pasukan boleh dipromosikan ke Liga Premier 2022 secara merit.
“Sehubungan itu, MFL mencapai satu keputusan iaitu pertandingan Liga Premier musim 2022 akan menampilkan 10 pasukan sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Liga Premier musim 2022 akan menampilkan Kuching City FC, Johor Darul Ta’zim II, Terengganu FC II, Selangor FC 2, PDRM FC, Kelantan United FC, Kelantan FC, Skuad Projek FAM-MSN diikuti pendatang dari Liga Super, Perak FC dan UiTM FC.
Sementara itu, dua pasukan teratas Liga Premier, Sarawak United FC dan Negeri Sembilan FC telah pun mengesahkan kemaraan dalam kempen Liga Super 2022. – Malaysiapost

