PERDANA Menteri Singapura, Lee Hsien Loong hari ini menerima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 di Hospital Umum Singapura.
Hsien Loong menerusi satu hantaran di Facebooknya berkata: “Kes meningkat dengan cepat. Suntikan penggalak akan menguatkan lagi perlindungan anda terhadap Covid-19.”
Beliau turut memuat naik video menerima suntikan tersebut di laman sosial miliknya.
Katanya lagi, Jawatankuasa Pakar mengenai Vaksinasi Covid-19 telah mengesyorkan dos tambahan untuk mereka berusia 60 tahun ke atas, penghuni rumah orang tua dan individu yang mengalami masalah terimunokompromi (sistem imun defektif yang mengakibatkan timbulnya gejala penyakit).
“Warga tua yang lengkap dua dos vaksinasi sekurang-kurangnya enam bulan lalu akan menerima SMS (khidmat pesanan ringkas) dengan pautan diberikan untuk membuat janji temu.
“Jika anda ditawarkan dos penggalak, silalah ambil. Ini akan mengurangkan peluang anda alami sakit yang serius, atau memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU),” katanya. – Malaysiapost

