40 jemaah bagi masjid, surau di Kelantan mulai esok

0
2
Seramai 50 jemaah dibenarkan menunaikan Solat Jumaat dengan mengikut SOP di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad Kuala Lumpur hari ini. Solat Jumaat dan fardu dibenarkan di semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan bermula hari ini termasuk solat Aidiladha dalam tempoh Fasa Satu Kawalan Pergerakan, Pelan Pemulihan Negara (PPN). Kebenaran itu setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan berdasarkan pelaksanaan garis panduan dan SOP baharu bagi aktiviti ibadat di masjid dan surau.

MAJLIS Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) membenarkan seramai 40 orang jemaah untuk menunaikan solat fardu dan Jumaat di semua majid serta surau di negeri ini bermula esok.

Yang Dipertua Maik, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata kebenaran itu hanya diberikan kepada kakitangan masjid dan jemaah terpilih yang sudah lengkap dua dos vaksin.

Katanya, Maik turut menetapkan syarat iaitu penerima vaksin jenis Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac wajib melepasi hari ke-14 daripada tarikh suntikan dos kedua untuk menunaikan solat.

“Bagi penerima vaksin satu dos suntikan iaitu Johnson & Johnson dan CanSino, mereka perlu melepasi hari ke-28 daripada tarikh suntikan.

“Kakitangan masjid dan jemaah yang hadir diwajibkan memakai pelitup muka dan digalakkan memakai dua lapis pelitup muka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tengku Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata pihak masjid dan surau perlu membuka semua pintu, tingkap serta kipas bagi memastikan sistem pengudaraan yang baik dan selamat, namun penggunaan pendingin hawa adalah tidak digalakkan.

Menurutnya, masa aktiviti di dalam masjid dan surau perlu disingkatkan untuk aktiviti yang wajib sahaja iaitu satu jam sebelum solat Jumaat dan 30 minit bagi solat fardu.

“Pengurusan masjid dan surau perlu membuat penandaan antara jemaah dengan jarak sekurang-kurangnya dua meter.

“Kebenaran solat fardu dan Jumaat itu telah mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Ketua Agama Islam Negeri seperti peruntukan Perkara 6 (1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here