Demi nyawa murid, guru akur divaksin

0
2
Petugas menyuntik vaksin AstraZaneca kepada seorang penerima vaksin di PWTC.

AKHIRNYA seorang guru wanita di Kuala Terengganu yang sebelum ini menolak untuk disuntik vaksin Covid-19, bersetuju menerimanya.

Guru yang mahu dikenali sebagai Jamilah berusia 50-an itu berkata, kerana terpengaruh dengan pelbagai maklumat salah dia enggan mendapatkan vaksin.

Namun, dia mengubah fikiran kerana memikirkan nyawanya serta masyarakat sekeliling dengan nekad mengambil suntikan berkenaan bagi mengelak berlaku jangkitan Covid-19.

Katanya, selepas menerima dos suntikan kedua pada 2 Ogos lalu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak, Jamilah kini lebih berkeyakinan menjalani kehidupan harian.

“Sejujurnya pada mulanya saya keberatan untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 sebab pelbagai maklumat negatif yang saya terima, maka perasaan takut dan berdebar itu sentiasa menghantui saya.

“Ditambah pula suami saya tidak mengizinkan untuk menerima suntikan berkenaan kerana bimbang apa-apa akan berlaku terhadap saya, maka kami mengambil sikap tunggu dan lihat terlebih dulu,” katanya dipetik BH, hari ini.

Jamilah juga menjelaskan, sebelum bersetuju untuk disuntik, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) menghubunginya dua kali sambil memujuk, namun ketika itu beliau tetap dengan pendirian menolak menerima suntikan vaksin.

“Bagaimanapun, demi anak murid saya, selain mahu sentiasa menunaikan solat di masjid dan dibenarkan merentas negeri, saya gagahkan diri bersetuju menerima suntikan itu.

“Sekarang saya begitu lega dan lebih yakin, selain bersyukur kerana tidak ada sebarang perkara tidak diingini berlaku walaupun saya menghidap penyakit kencing manis,” kata guru sekolah rendah itu.

Terdahulu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan lebih 100 guru di Terengganu menolak untuk menerima suntikan vaksin atas pelbagai sebab. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here