[Parlimen] KETUA pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani bersama kerajaan adalah satu tawaran baharu kepada Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata, disebabkan itu PH menganggap tawaran tersebut sesuatu yang boleh dilaksanakan.
“Ini kerjasama dengan pendekatan baharu, ia boleh berlaku, pertama kerana sikap positif Perdana Menteri, (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), kalau tidak tentu ada kesukaran. Kedua, ada nasihat daripada Raja-Raja Melayu mengenai kestabilan.
“Jadi, kerjasama harus diteruskan, mesyuarat perlu diadakan secara berkala dan lampiran harus didedah kepada awam tanpa perlu dirahsiakan.
“Kita masih terus bersuara, kalau tak bunyi apa-apa, orang kata lain nanti. Saya boleh jamin, ini adalah kerjasama dan perundingan,” katanya dalam sesi Persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, kerajaan Persekutuan dan PH memeterai perjanjian MoU Transformasi dan Kestabilan Politik semalam.
Kandungan MoU itu turut didedahkan kepada umum hari ini selaras persetujuan kedua-dua pihak.
Anwar berkata, butiran MoU itu menjelaskan peranan PH sebagai pembangkang untuk menolak jika tidak ada rundingan dijalankan. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook/Anwar Ibrahim

