Sapiah wanita Orang Asli pertama dilantik Ketua Pengarah JAKOA

0
2

JABATAN Kemajuan Orang Asli (JAKOA) melakar sejarah buat julung kalinya hari ini apabila mendapat Ketua Pengarah baharu yang merupakan wanita pertama daripada etnik kaum itu.

Pelantikan Sapiah Mohd Nor itu juga merupakan sejarah kepada JAKOA apabila pertama kali dipimpin oleh golongan wanita sekali gus meningkatkan penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan bagi masyarakat Orang Asli dalam perkhidmatan awam.

Sapiah juga telah mencipta sejarah negara tersendiri apabila beliau menjadi wanita Orang Asli pertama dilantik ke jawatan tertinggi perkhidmatan awam.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata surat pelantikan telah diserahkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada jam 12 tengahari tadi di Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Parlimen.

“Sukacita saya ingin memaklumkan pelantikan Puan Hajah Sapiah binti Mohd Nor sebagai Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) ke-18 berkuatkuasa 15 September 2021.

“Pelantikan beliau diperkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sapiah berumur 56 tahun adalah Orang Asli keturunan Suku Semai berkelulusan Ijazah Sarjana Undang-Undang Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2007 dan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan universiti yang sama pada tahun 2001. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here