KKM tubuh unit khas tampung keperluan ICU, oksigen – KJ

0
2

[Parlimen] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menubuhkan Rapid Employment Unit untuk menampung keperluan Unit Rawatan Rapi (ICU) dan oksigen kepada semua pusat rawatan di seluruh negara.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata penubuhan unit tersebut bagi membolehkan modular ICU dan oksigen boleh dihantar dengan cepat kepada mana-mana negeri yang mungkin mengalami peningkatan kes Covid-19.

“Ia persediaan jika varian-varian baharu muncul. Kita tidak mahu berlaku seperti mana dahulu kita tidak ada katil yang mempunyai oksigen yang mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan S. Kesavan (PH-Sungai Siput ) berkenaan sasaran KKM dalam usaha meningkatan persediaan rawatan bagi pesakit Covid-19 dalam sesi Persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab mengenai bantuan tambahan kepada Sabah selepas peningkatan kes yang tinggi berlaku pada Disember lalu, Khairy berkata beliau telah melawat ke daerah Tawau bagi meninjau keperluan rawatan di sana.

“Bekalan tambahan telah dihantar di Sabah dan telah kenal pasti tapak yang akan didirikan hospital medan. Pastikan kemudahn alat pernafasan dah oksigen yang cukup untuk di kawasan Tawau,” ujarnya.

Khairy berkata, KKM turut menyasarkan nisbah katil hospital kepada 1,000 penduduk pada kadar 2.08 menjelang akhir Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, setakat tahun lalu, iaitu tahun akhir RMK-11, nisbah yang tercapai adalah 2.01 yang mana bilangan katil meningkat daripada 55,952 unit pada tahun 2016 kepada 65,508 katil pada tahun lalu.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan kini meneruskan inisiatif menambah bilangan katil menerusi pembinaan hospital baharu dan menaik taraf hospital serta fasiliti sedia ada. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here