PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menolak dakwaan kerajaan akan bersikap lepas tangan selepas negara mencapai fasa endemik menjelang akhir Oktober depan.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, berkata beliau tidak setuju dengan pandangan yang dilontarkan pihak tertentu di media sosial yang seakaan-akan menuduh kerajaan bersikap lepas tangan.
“Tidak pasti apa tujuan sebenar ia ditularkan. Pandangan yang diviralkan itu boleh memberi tanggapan sangat tidak baik terhadap kerajaan seolah-olah cuba lepas tangan.
“Walaupun selepas pandemik Covid-19 dikategorikan endemik, kerajaan masih mempunyai tanggungjawab untuk membendung dan mengawal jangkitan,” katanya menerusi Facebook, hari ini.
Beliau berkata, selain perlu menjaga ekonomi, kerajaan juga mesti menjamin keselamatan dan kesejahteraan hidup rakyat termasuk dalam aspek kesihatan.
“Kerana itu Malaysia sejak dahulu mempunyai kementerian berkait kesihatan dengan peruntukan yang besar saban tahun.
“Bagi membantu rakyat mencapai taraf kesihatan yang membolehkan mereka menjalankan kehidupan ekonomi dan sosial dengan produktif,” katanya.
“(Ia termasuk) dengan menyediakan perkhidmatan bercorak penggalakan, pencegahan, rawatan serta pemulihan yang cekap, sesuai serta berkesan,” katanya.
Beliau berkata, sebagai contoh denggi, yang mana kawalan jangkitan masih dilakukan kerajaan sehingga hari ini seperti semburan membunuh aedes dan sebagainya.
“Maka begitu juga dengan Covid-19, kawalan jangkitan harus diteruskan oleh kerajaan walaupun telah mencapai imuniti kelompok.
“Ini termasuk dalam aspek pematuhan SOP terutama di tempat awam dan tempat kerja serta kawalan di kawasan tinggi jangkitan.
“Rakyat yang sentiasa menjaga SOP perlu dilindungi daripada segelintir yang mungkin masih bersikap sambil lewa,” katanya.
Pada 1 September lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, Malaysia bakal memasuki fasa endemik Covid-19 bermula hujung Oktober ini.
Beliau berkata, peralihan fasa itu dijangka berlaku selepas 80 peratus populasi dewasa di negara ini lengkap menerima dua dos vaksin. – Malaysiapost

