PERBUATAN merakam dan menyebarkan video yang mendakwa berlaku layanan ‘dua darjat’ adalah tidak wajar, kata Imam Besar Masjid Putra, Ikmal Zaidi Hashim.
Beliau berkata, tindakan itu sengaja mahu memburukkan seseorang serta mempunyai agenda tertentu untuk mencari salah orang lain.
“Dia (jemaah) dah lambat, dia tak nak balik, dia duduk depan pagar tu, dia duduk macam tu.
“Siapa nak masuk kau ingat apa? Lepas tu ambil gambar, itulah perangai orang kita,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di Facebook hari ini.
Ikmal menegaskan bahawa beliau meredai perbuatan individu yang telah merakan dan menularkan video tersebut.
“Saya nak cakap saya tak reda benda tu dan saya doakan supaya orang yang buat dapat hidayah Allah tetapi kena datang jumpa saya dahulu, minta maaf,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menjelaskan bahawa jumlah kuota untuk solat Jumaat di Masjid Putra adalah seramai 300 orang yang mana 90 peratus darinya (270 orang) adalah untuk orang awam, manakala 10 peratus (30 orang) untuk kenamaan (VIP).
“Kuota 10 peratus itu diberikan adalah kerana masjid terbabit adalah masjid kerajaan, malah dibina bersebelahan dengan bangunan Jabatan Perdana Menteri.
“Jangan marah saya, itu ketetapan, kita nak beri peluang kepada VIP, untuk penuhkan kuota 30 orang, (berjawatan) pengarah dan ke atas,” katanya.
Menurut Ikmal, VIP seramai 30 orang itu telah memberikan nama terlebih dahulu.
“Sudah ada nama dah pun, itu untuk dia (VIP), itu hak dia, yang lebihnya (270) untuk jemaah lain. Tapi dah dia lambat, dia tak nak balik,” katanya.
Terdahulu, tular video berdurasi 57 saat yang memaparkan sekumpulan lelaki dilarang memasuki kawasan sebuah masjid untuk menunaikan solat Jumaat.
Video berkenaan kemudiannya menunjukkan terdapat individu yang baru tiba di masjid itu dengan menaiki kenderaan mewah sebelum dibenarkan masuk untuk menunaikan solat.
Semalam, pihak pengurusan Masjid Putra tampil menjelaskan dakwaan terdapat layanan dua darjat kepada jemaah yang hadir bagi solat Jumaat di masjid itu.
Pengurusan Masjid Putra dalam kenyataannya berkata, kehadiran jemaah untuk menunaikan solat fardu dan Jumaat di masjid berkenaan adalah mengikut garis panduan dan ketetapan dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu dengan kapasiti 300 orang.
Jumlah itu termasuk memperuntukkan sejumlah kuota buat jemaah tetap yang telah mendaftar lebih awal dengan turut memaklumkan jangkaan waktu ketibaan mereka. – Malaysiapost

