Anwar pentingkan diri, tak pegang semangat setia kawan – Khairuddin

0
2
Khairuddin Abu Hassan

JANGAN percaya kepada (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan (PH) kerana mereka bersikap pentingkan diri sendiri serta tidak berpegang pada semangat setia kawan secara tulen, kata Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Beliau berkata, hakikatnya Anwar dan PH hanya mahu mempergunakan sokongan lain bagi agenda untuk memartabatkan ketua pembangkang sebagai Perdana Menteri semata-mata.

“Ketika hendak menamakan calon Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini, pemimpin-pemimpin PH datang berjumpa dengan Tun Dr Mahathir Mohamad merayu agar memberi sokongan kepada Anwar.

“Pemimpin-pemimpin PH akan merayu, memujuk serta melakukan apa saja pada waktu itu demi menjayakan impian mereka yang ‘mustahil’ ke arah memartabatkan ketua pembangkang masa kini sebagai Perdana Menteri kesembilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairuddin berkata, kini Anwar dan pemimpin PH mengenepikan Pejuang, Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) apabila hendak berunding dengan pihak kerajaan mengenai senarai pembaharuan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Sikap mereka juga adalah untuk mempergunakan sokongan orang lain demi kepentingan diri mereka sendiri dan tidak lebih dari itu.

“Bagi saya Anwar Ibrahim dan PH tidak boleh dibuat sahabat. Mereka ini adalah golongan yang tidak ikhlas serta amat bersikap individualistik,” katanya.

Oleh itu, katanya, beliau bersetuju dengan pandangan pemimpin Pejuang yang mahu bertanding 120 kerusi Parlimen di seluruh negara sebagai satu manifestasi untuk memenangi Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) seterusnya menubuhkan kerajaan baharu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here