Angka sebenar kematian semalam 100, 492 lagi kes tertunggak – KKM

0
2

MALAYSIA melaporkan 592 kematian akibat Covid-19 semalam, iaitu tertinggi pernak direkodkan sejak wabak itu melanda negara.

Menurut laman web COVIDNOW, 88 kes daripadanya melibatkan kematian di luar hospital (BID).

Bagaimanapun menurut KKM jumlah sebenar kematian semalam hanya 100, manakala 492 lagi adalah termasuk kes tertunggak atau ‘backlog’ yang tidak dilaporkan sebelum ini.

Kes kematian harian tertinggi pernah dicatatkan di Malaysia sebelum ini ialah 393 kes pada 26 Ogos lalu.

Jumlah kematian keseluruhan kini telah melepasi angka 20,000 iaitu 20,419.

Berdasarkan maklumat di laman web COVIDNOW, Selangor semalam mencatatkan kes kematian tertinggi iaitu 359 kes, Sabah (53), Kedah (49), Perak (28), Pulau Pinang (27) dan Negeri Sembilan (15).

Kelantan pula mencatatkan 11 kes, manakala Johor dan Sarawak masing-masing 10 kematian, Melaka (9), Kuala Lumpur (8), Pahang dan Terengganu masing-masing enam kes dan Perlis satu kematian.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan kini dalam proses melakukan pembersihan terhadap data kes-kes tertunggak demi memastikan usaha pelaporan lebih telus.

Antaranya membabitkan data tertunggak kes kematian dan kes sembuh mengikut tarikh sebenar pelaporan.

Berikutan itu, KKM turut menjangka kes harian Covid-19 akan mencatatkan jumlah lebih tinggi bagi tempoh beberapa hari lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here