Jangan libatkan penjawat awam dengan politik

0
2

CUEPACS menyifatkan ucapan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas terhadap penjawat awam dalam sebuah webinar yang bertajuk ‘Umno Redux: What Next For Malaysia? amat menjelikkan.

Presidennya, Adnan Mat berkata, dalam ucapan itu, Tommy dilihat telah membuat kesimpulan mengenai pemikiran politik penjawat awam tanpa dapatan atau kajian yang kukuh bagi membuktikan apa yang didakwa olehnya.

“Tommy mendakwa bahawa penguasaan sebuah parti politik ketika ini begitu utuh sehingga ribuan penjawat awam yakin bahawa parti tersebut sinonim dengan Malaysia.

“Justeru, CUEPACS menyifatkan pandangan tersebut amat jelik dari seorang yang pernah menjawat jawatan dalam perkhidmatan awam sebagai Peguam Negara.

“Beliau sepatutnya tidak perlu mengaitkan penjawat awam dengan mana-mana parti politik atau ideologi kerana prinsip yang didukung oleh penjawat awam adalah neutral dan profesional dalam perkhidmatan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adnan berkata, penjawat awam sentiasa mendukung mana-mana kerajaan yang memerintah tanpa mengira latar belakang politik yang mengetuai tampuk kepimpinan kerajaan.

Jelasnya, sebagai jentera kerajaan, fokus penjawat awam adalah memastikan sistem penyampaian perkhidmatan sentiasa berada pada tahap maksimum untuk manfaat rakyat selaras dengan dasar kerajaan semasa.

Sehubungan itu, sebagaimana larangan penjawat awam untuk tidak menyentuh atau mengeluarkan pendapat mengenai isu politik, CUEPACS berharap perkara tersebut turut dihormati oleh pemimpin politik dengan tidak mengaitkan penjawat awam dengan mana-mana pertikaian politik.

“Penjawat awam juga rakyat Malaysia dan mempunyai kecenderungan politik tetapi mereka semua tetap profesional dan neutral dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dan negara.

“Tindakan mengaitkan penjawat awam dengan mana-mana parti politik hanya memberi kesan kepada penyampaian perkhidmatan kerajaan,” katanya.

Dalam masa yang sama, CUEPACS menyeru seluruh penjawat awam untuk kekal fokus melaksanakan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan negara kembali di landasan yang terbaik. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here