Isu air: PBT perlu proaktif banteras isu lesen kilang

0
3

PIHAK Berkuasa Tempatan (PBT) perlu mengambil langkah proaktif bagi membanteras isu lesen kilang yang menyalahi undang-undang alam sekitar. 

Presiden Persatuan Wira Air (Perwira), Muhammad Dhiyauddin Saharudin berkata, pihak yang tidak bertanggungjawab boleh disabitkan mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) Seksyen 121 (1) (C).

“Seseorang yang mencemarkan atau menyebabkan pencemaran mana-mana alur air atau sistem bekalan air yang berkemungkinan membahayakan nyawa mana-mana orang, adalah suatu kesalahan. 

“Jika disabit, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pelaku dikehendaki membayar pampasan bagi kerosakan dilakukan kepada pihak operator jika ia dibuktikan dengan sengaja, cuai atau melulu menyebabkan kerosakan mana-mana bahagian daripada sistem bekalan air atau pembetungan awam .

Katanya, kesalahan di bawah Seksyen 122 yang jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Dalam masa sama, beliau menyokong tindakan Menteri Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Wan Hassan Bin Mohd Ramli yang prihatin terhadap isu berkenaan. 

“Ianya melalui komitmen dan usaha bersungguh-sungguh pihak berkenaan dalam meninjau pemulihan bekalan kepada pengguna yang terjejas akibat pencemaran Sungai Gong sejak Khamis lalu.

“Diharapkan rakyat dapat membantu untuk memantau dan melaporkan kepada SPAN jika mengesyaki pengilang mencemarkan sumber air. 

“Aduan boleh dibuat kepada [email protected],” katanya.

Perwira adalah Forum Air di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) selaras dan tertakluk kepada Seksyen 69 dan Seksyen 70 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655). -Malaysiapost