MENTERI Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bekerja keras membantu pelaksanaan sekatan jalan raya (SJR) di Lembah Klang.
Penghargaan itu dizahirkan Hishammuddin menerusi hantaran Facebooknya, susulan pelaksanaan SJR di Lembah Klang ditamatkan tengah malam tadi seperti mana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Tabah bekerja siang malam. Cekal bertugas dalam ribut, hujan, panas. Sabar walau kurang masa dengan keluarga. Demi rakyat. Untuk negara Malaysia,” katanya.

Hishammuddin berkata, ATM akan terus berganding bahu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi lain bagi pelaksanaan SJR terutama membabitkan laluan sempadan keluar negeri.
Hari ini, Lembah Klang yang membabitkan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang membolehkan pergerakan rentas daerah dibenarkan, dan berikutan itu SJR ditamatkan kecuali di sempadan negeri. – Malaysiapost

