PH calonkan Kor Ming jadi Timbalan Speaker Dewan Rakyat

0
2

AHLI Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming dinamakan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) untuk mengisi kekosongan jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Memetik laporan MalaysiaKini, perkara itu disahkan sendiri oleh Kor Ming ketika dihubungi portal berita berkenaan.

Kor Ming menjelaskan cadangan calon itu sudah diserahkan kepada Parlimen mengikut kaedah yang ditetapkan peraturan mesyuarat.

Satu daripada dua jawatan timbalan speaker itu kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya, Datuk Seri Azalina Othman Said, baru-baru ini.

Dewan Rakyat akan membuat pemilihan bagi mengisi kekosongan ditinggalkan ahli parlimen Pengerang itu pada Selasa depan.

Dalam pada itu, blok kerajaan pula mencadangkan Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Dr Ahmad Maslan sebagai calon.

Sementara itu, Kor Ming hari ini menjanjikan 10 pembaharuan Parlimen yang akan dilaksanakannya jika terpilih menjadi timbalan speaker.

Beliau mengusulkan agar Parlimen bertindak sebagai cabang perundangan untuk mendapatkan kebebasan kewangan, memiliki perkhidmatan sendiri, mengkaji rang undang-undang kerajaan secara berkala, meneliti anggaran kerajaan dan menangani masalah setempat sesebuah kawasan Parlimen.

Kor Ming yang pernah menjalankan tugas itu semasa PH menjadi kerajaan selepas PRU ke-14 lalu, menyenaraikan 10 pembaharuan yang dijanjikan.

  • Memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen untuk memastikan pemisahan kuasa berlangsung
  • Menubuhkan jawatankuasa pilihan khas untuk menyemak belanjawan bagi memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam peruntukan belanjawan tahunan kepada Parlimen.
  • Menubuhkan jawatankuasa pilihan khas untuk mengkaji semula rang undang-undang kerajaan.
  • Menubuhkan kamar khas kedua untuk membincangkan isu-isu khusus yang dihadapi pelbagai kawasan supaya menteri yang berkaitan dapat berhadapan secara langsung, menjawab soalan ahli parlimen dan memberikan penyelesaian.
  • Menetapkan hari persidangan minimum bagi parlimen untuk memastikan semua anggotanya dapat memainkan peranan sementara kehadiran ahli parlimen juga harus diumumkan secara terbuka untuk dipertanggungjawabkan kepada pengundi.
  • Mengadakan siaran langsung untuk mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC)
  • Status menteri untuk ketua pembangkang
  • Melembagakan usul percaya untuk memastikan keabsahan perdana menteri agar tidak dipersoalkan. Untuk itu parlimen harus meminda peraturan mesyuarat bagi mensyaratkan seseorang perdana menteri baru untuk mengemukakan usul undi percaya kepada parlimen dalam tempoh 30 hari setelah mengangkat sumpah.
  • Undang-undang antilompat parti yang merangkumi pemilihan semula wakil rakyat.
  • Menubuhkan jawatankuasa terpilih khusus untuk isu-isui alam sekitar, sosial, dan tadbir urus. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here