SEMUA pekerja warga asing dalam daerah Muar tidak dibenarkan keluar dari lingkungan asrama dan kilang bagi mencegah penularan wabak Covid-19.
Arahan itu dikeluarkan Majlis Perbandaran Muar (MPM) berkuatkuasa kepada semua sektor pembinaan, peruncitan, perladangan dan lain-lain sektor yang membabitkan tenaga kerja warga asing.
Yang Dipertua MPM Jamil Hasni Abdullah, berkata sebarang keperluan pekerja asing berkenaan perlu diurus sepenuhnya oleh majikan masing-masing.
“Bagi mencegah penularan jangkitan wabak Covid-19 di dalam daerah Muar, arahan larangan keluar bagi warga asing yang dikuatkuasakan sebelum ini adalah kekal.
“Berkuatkuasa serta merta semua pekerja asing tidak dibenarkan keluar dari lingkungan asrama dan kilang sehingga diberitahu kelak. Sebarang keperluan hendaklah diurus sepenuhnya oleh majikan masing-masing,” menurutnya dalam satu notis dikeluarkan MPM, semalam.
Beliau berkata, bagi pergerakan pergi dan pulang pekerja warga asing untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) juga hendaklah diuruskan sepenuhnya oleh pihak majikan sendiri.
“Kesemua amalan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan hendaklah dilaksanakan dengan sempurna.
“Majikan juga dikehendaki untuk memastikan tiada sebarang aktiviti penjajaan oleh mana-mana warga tempatan sama ada diluar mahupun di dalam perkarangan kilang dan asrama.
“Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana majikan yang gagal memastikan arahan ini,” katanya.
Menurutnya, sebarang pelanggaran arahan bakal dikenakan tindakan penguatkuasaan mengikut Seksyen 72(1)(f), Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).
Larangan keluar pekerja asing berkenaan dikeluarkan MPM sejak Januari lalu dalam usaha mencegah penularan Covid-19 di daerah berkenaan.
Muar menjadi daerah pertama peringkat kebangsaan berjaya mencapai imuniti kelompok sehingga 80.8 peratus sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan pada Mac 2021. – Malaysiapost

