Pemandu lori ‘lalok’ rempuh 5 kenderaan didakwa hari ini

0
2

PEMANDU lori yang merempuh lima kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Ipoh di Sentul, Kuala Lumpur pada 6 September lalu, dihadapkan ke mahkamah hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, berkata lelaki berusia 25 tahun itu akan dituduh mengikut Seksyen 44 (1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pemandu lori akan dituduh di Mahkamah Trafik Jalan Duta, hari ini membabitkan kesalahan memandu kenderaan di bawah pengaruh dadah dan menyebabkan kecederaan kepada mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian 2.30 petang 6 September lalu, sebuah lori dilaporkan merempuh beberapa kenderaan dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Ipoh di Sentul.

Berdasarkan rakaman kamera perakam video (dashcam) yang tular di media sosial, memaparkan lori tanpa muatan terbabit merempuh dari belakang beberapa kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat merah.

Sebuah kereta Perodua Myvi dilihat remuk teruk manakala beberapa kenderaan lain turut mengalami kerosakan akibat kemalangan tersebut, namun tiada kehilangan nyawa dilaporkan dalam insiden berkenaan.

Sarifudin dilapor berkata, nahas itu mengakibatkan pemandu Perodua Myvi cedera ringan di muka dan mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), manakala pemandu empat kenderaan lain dilaporkan tidak cedera.

Katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamin dan amphetamin. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here