Dua kumpulan along ‘Ah Han’ dan ‘Ah Sing’ tumpas

0
3

POLIS menahan 14 ahli sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau along dalam Op Vulture yang dijalankan serentak di sekitar Johor Bahru, semalam. 

Dalam operasi bermula jam 11.30 malam oleh pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, tangkapan adalah membabitkan kumpulan ‘Ah Han’ dan kumpulan ‘Ah Sing’. 

Pengarah JSJK, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata tangkapan terdiri 11 lelaki dan tiga wanita berusia 15 hingga 34 tahun yang dipercayai terbabit aktiviti pemberi pinjaman wang tanpa lesen yang menyasarkan warga tempatan sebagai mangsa.  

“Kesemua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951; Seksyen 29B akta sama; Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK); Seksyen 420 KK; Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan serta kesalahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959. 

“Antara rampasan adalah lapan kenderaan mewah; 23 telefon bimbit; 67 kad bank; dua peranti tablet; komputer riba; enam sijil pemilikan kenderaan; buku senarai peminjam wang; dokumen pinjaman wang dan wang tunai RM339, 870,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Menurutnya, siasatan mendapati sindiket berkenaan sudah beroperasi antara satu hingga dua tahun lalu dan modus operandi mereka adalah menawarkan pinjaman melalui media sosial.  

Sementara itu, Mohd Kamarudin berkata berdasarkan statistik sejak Januari hingga 31 Ogos lalu, sebanyak 683 kes along yang dilaporkan telah disiasat JSJK membabitkan pinjaman lebih RM2.9 juta dan tangkapan seramai 801 along dibuat. 

“Dalam tempoh pandemik Covid-19 melanda negara, ramai kehilangan punca pendapatan menyebabkan terpaksa meminjam wang daripada along tanpa memikirkan kesannya.  

“Orang ramai dinasihatkan jangan terpedaya dan sentiasa berwaspada dengan tawaran iklan pinjaman wang dengan memastikan hanya meminjam dengan syarikat berlesen,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: PDRM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here