Jika ingkar, premis diroboh!

0
4

PEMILIK tanah dan kilang yang beroperasi secara haram di Selangor diberi tempoh sehingga hujung tahun ini untuk melakukan pemutihan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata jika pemilik tanah masih ingkar, tindakan meroboh premis akan dilakukan.

“Projek (pemutihan) kilang-kilang haram sudah bermula pada 2008.

“Bagaimanapun, ia kurang mendapat sambutan kerana ia membabitkan kos yang tinggi.

“Justeru, kita bagi tawaran (melakukan pemutihan) kepada mereka sehingga akhir tahun ini tetapi jika keadaan mendesak, saya rasa kita boleh laksanakan dengan lebih cepat menjelang bajet akan datang.

“Secara keseluruhan, proses meroboh akan kita laksanakan pada awal tahun hadapan,” katanya dipetik daripada laporan Harian Metro.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, beliau akan mempengerusikan jawatankuasa kecemasan sebagai usaha kerajaan negeri mengurangkan impak pencemaran terhadap sumber air di Selangor.

“Dalam bab ini, saya sendiri akan ketuai jawatankuasa itu dalam masa terdekat. Kali ini kita akan gabungkan teknologi pemantauan sungai seiring dengan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sebagai agensi pemantauan sumber air.

“Kita juga akan melaksanakan usaha pembersihan kawasan sungai, pengosongan rizab sungai yang dibangunkan oleh infrastruktur dan bangunan yang tidak mendapat kebenaran,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menjunjung kasih titah Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam yang menitahkan beberapa tindakan perlu diambil berhubung isu berkenaan berikutan baginda bimbang rakyat akan memberontak seterusnya boleh mengakibatkan ketegangan dan menjejaskan keharmonian sosial sekiranya masalah air berterusan. – Malaysiapost