Suspek libas sabit positif syabu, heroin

0
4

LELAKI yang bertindak agresif dengan memanjat bumbung kereta peronda polis (MPV) dan melibas sabit didapati positif dadah jenis syabu dan heroin.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata semakan turut mendapati suspek berusia 61 tahun itu mempunyai 16 rekod jenayah dan narkotik.

Menurutnya, kejadian berlaku pada jam 8 pagi tadi, apabila suspek memasuki Balai Polis Gopeng dengan menunggang motosikal dan membawa parang serta sabit.

“Suspek kemudian melibas parang dan sabit dibawanya di hadapan pintu masuk pejabat pertanyaan balai tersebut dan anggota polis bertugas menenangkan suspek serta menghubungi bantuan.

“Suspek keluar dari kawasan balai polis dan menuju ke Jalan Ipoh – Kuala Lumpur, namun disekat oleh polis dan sebuah MPV diletakkan di tengah jalan sebelum itu bagi tujuan menghalang orang ramai melalui kawasan terbabit.

“Lelaki terbabit kemudian meluru ke arah kenderaan polis tersebut dan memanjat bumbungnya serta melibaskan parang dan sabit yang dibawa bagi mengelak didekati polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kira-kira jam 8.30 pagi pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng tiba bagi membantu melakukan proses tangkapan dan suspek berjaya ditahan selepas bomba menyembur air ke arah suspek yang kemudiannya jatuh ke atas jalan.

“Suspek didapati mengalami kecederaan daripada proses tangkapan tersebut dan turut dirampas bersamanya adalah parang dan sabit panjang serta sebuah motosikal bersama empat kunci.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis 1967, Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal suspek dipercayai mengamuk serta merampas motosikal milik orang awam di kawasan Pasar Awam Lawan Kuda dan menuju kawasan Perumahan Kopisan sebelum masuk ke Balai Polis Gopeng.

“Video kejadian tangkapan suspek telah dikesan tular di media sosial sejurus tangkapan dibuat.

“Justeru, polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi berkaitan kejadian ini bagi mengelak kekeliruan dan kegusaran masyarakat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here