SEBANYAK 1,721,274 atau 91.5 peratus daripada keseluruhan 1,880,734 kes positif Covid-19 di negara ini terdiri daripada mereka yang tiada sejarah vaksinasi atau tidak lengkap divaksin.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah itu 1,441,205 kes atau 76.6 peratus adalah terdiri mereka yang tiada sejarah vaksinasi dan 280,069 kes atau 14.9 peratus adalah mereka yang tidak lengkap divaksinasi.
“Sebanyak 159,460 kes atau 8.5 peratus mempunyai sejarah vaksinasi lengkap,” kata Dr Noor Hisham menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Beliau berkata daripada 18,547 kes harian yang dilaporkan hari ini, hanya 308 kes atau 1.66 peratus melibatkan kategori 3, 4 dan 5 yang mana 77.6 peratus daripadanya tiada vaksinasi atau tidak lengkap vaksinasi.
Pada masa sama, katanya, 18,239 kes atau 98.34 peratus melibatkan kategori 1 dan 2 yang mana 66.8 peratus daripadanya tiada vaksinasi atau tidak lengkap vaksinasi.
“Daripada 308 kes kategori 3 hingga 5, sebanyak 239 kes (77.6 peratus) terdiri daripada mereka yang tiada sejarah vaksinasi atau tidak lengkap vaksinasi berbanding hanya 69 kes (22.4 peratus) mereka yang lengkap divaksinasi.
“Situasi ini jelas menunjukkan mereka yang lengkap divaksinasi lebih terlindung dan kurang berisiko mendapat jangkitan Covid-19 yang teruk.
“Perkembangan positif ini dapat terus dilihat sekiranya Malaysia telah mencapai kadar vaksinasi lebih tinggi,” katanya.
Justeru, Dr Noor Hisham berkata, mereka yang belum mengambil vaksin Covid-19 dinasihatkan untuk segerakan pengambilan bagi melindungi orang di sekeliling daripada kemungkinan dijangkiti Covid-19.
“Pada masa sama masyarakat diingatkan untuk terus mematuhi SOP bagi mengurangkan risiko dijangkiti,” katanya. – Malaysiapost

