PERMAISURI Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, hari ini berkenan mengurniakan bantuan kepada 200 keluarga Program Perumahan Rakyat (PPR) Sri Stulang dan PPR Iskandar, Johor Bahru.
Sumbangan bantuan makanan dan barangan peribadi itu bagi meringankan beban rakyat yang terjejas disebabkan pandemik Covid-19.
Bantuan berkenaan disalurkan menerusi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) yang disampaikan Pengurus Kanan Peraihan Dana YRZSNJ, Rohazam Shah Ahmad kepada penerima di Surau Nurul Falah, Sri Stulang Johor Bahru.
Sementara itu, warga emas, Junaidah Umarem, 62, berkata, dia bersyukur di atas kurniaan bantuan yang diterima itu.
Junaidah berkata, dia sebelum ini hanya mengharapkan bantuan daripada tiga orang anaknya yang turut terkesan selepas hilang pekerjaan akibat Covid-19.
“Menjunjung kasih kepada DYMM Permaisuri Johor di atas bantuan yang amat besar nilainya pada saya” katanya kepada Royal Press Office (RPO).
Kurniaan bantuan disampaikan dengan kerjasama penduduk setempat dan sukarelawan. – Malaysiapost

