JAGUH lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli menyerahkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sama ada akan memberi imbuhan atau sebaliknya, susulan pingat emas dimenanginya pada Sukan Paralimpik Tokyo baru-baru ini, dibatalkan.
“KBS yang tentukan, jikalau ada imbuhan Alhamdulillah saya terima dengan 10 jari.
“Jika tiada imbuhan pun saya reda, sebab adat menang dan kalah, kalau sesiapa bawa balik pingat dapat imbuhan… biarlah KBS tentukan,” katanya dalam satu temubual bersama Astro Arena.
Sebelum ini ada beberapa pihak mencadangkan agar Muhammad Ziyad tetap diberikan imbuhan susulan kejayaannya memecahkan rekod dunia acara lontar peluru kategori F20 lelaki walaupun penyertaannya dibatalkan susulan lewat tiba di bilik panggilan.
Bagaimanapun bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong berkata cadangan untuk memberi ganjaran setimpal kepada Muhammad Ziyad tidak wajar memandangkan ‘kegagalan adalah kegagalan’.
Katanya, insiden malang dihadapi Muhammad Ziyad harus dijadikan pengajaran dan sekiranya cadangan pemberian ganjaran itu diterima, ia bakal memberi impak negatif pada masa depan sekiranya situasi sama berlaku kepada atlet lain.
Malah, Zolkples menegaskan ia tentunya menidakkan syarat-syarat termaktub dalam pemberian ganjaran Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) Majlis Sukan Negara (MSN). – Malaysiapost

