ATM tunggu lampu hijau KKM tambah hospital medan

0
2

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) kini hanya menunggu lampu hijau daripada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengaturgerak tambahan hospital medan di negeri-negeri yang berdepan peningkatan penularan kes Covid-19.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata usahasama itu dilaksanakan menerusi pengukuhan kerjasama antara ATM dan KKM dalam memerangi wabak Covid-19.

“Saya telah sebut baru-baru ini bahawa hospital medan akan segera ditambah di negeri-negeri yang memerlukan.

“Covid-19 ialah musuh negara. Menerusi apa jua cara, ATM akan peranginya demi nyawa rakyat, kesejahteraan masyarakat dan keselamatan tanah air,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu Hishammuddin berkata hari ini adalah hari ke-79 Hospital Medan ATM beroperasi di Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru dengan kapasiti 80 katil biasa dan empat katil unit rawatan rapi (ICU) sejak dibuka pada 21 Jun 2021.

“Alhamdulillah, dengan kepakaran pasukan perubatan ATM, seramai 944 pesakit Covid-19 telah menerima rawatan di Hospital Medan ini yang mana 877 telah sembuh sekali gus dibenarkan pulang.

“Saya amat bangga dan hargai kesungguhan anggota Tentera Darat Malaysia khususnya dari Kor Kesihatan Diraja yang sentiasa sanggup merisikokan diri serta bertugas sebilang masa demi membantu pasukan KKM perangi Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here