Ada dokumen atau tidak, semua akan divaksinasi – KJ

0
2

PROGRAM vaksinasi dilaksanakan kerajaan adalah untuk semua penduduk di Malaysia tanpa menolak sesiapa pun termasuk jika individu tersebut mempunyai dokumen ataupun sebaliknya.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata beliau telah membincangkan perkara itu di peringkat Kementerian Kesihatan (KKM) dan bersama Jemaah Menteri.

Ini kerana katanya apa yang lebih utama adalah soal kesihatan awam.

“Kalau mereka (warga asing) adalah penduduk di Malaysia, saya harap mereka akan hadir di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) atau program jangkau luar untuk dapatkan suntikan vaksin Covid-19.

“Saya ingin tegaskan juga bahawa tidak ada yang selamat sehingga semuanya selamat,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan kerja ke Pulau Larapan, Semporna, bagi melihat aktiviti jangkau luar pemberian vaksin CanSino (vaksin 1 dos) kepada penduduk di pulau tersebut dan pulau-pulau di sekitarnya.

Khairy berkata aktiviti vaksinasi di Pulau Larapan adalah antara contoh program vaksinasi jangkau luar yang giat dilaksanakan kerajaan Sabah untuk mencapai sasaran 60 peratus populasi dewasa mendapat vaksinasi lengkap pada hujung September ini dan 80 peratus pada penghujung Oktober.

Katanya lagi, KKM telah merancang lebih 130 program vaksinasi jangkau luar ini yang melibatkan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, kerajaan negeri serta NGO dengan menggunakan pejabat kesihatan daerah sebagai PPV sementara.

“Kita menyasarkan 1,000 dos untuk diberikan pada program vaksinasi jangkau luar di Pulau Larapan ini. Keseluruhannya, 16,000 dos vaksin CanSino akan dihantar ke Semporna dan sehingga hari ini, sebanyak 3,000 dos telah pun diterima.

“Di Pulau Larapan ini dan juga di aktiviti vaksinasi jangkau luar lain yang dijalankan, ada dalam kalangan mereka yang hadir tidak mempunyai pengenalan diri yang sah dan hanya membawa bersama surat dari kerajaan negeri atau ketua kampung yang mengesahkan identiti mereka. Kita terima,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here