KJ perlu jelaskan angka sebenar kematian akibat Covid-19

0
2

MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin perlu menjelaskan lebih lanjut mengenai kadar kematian dan kematian luar hospital (BID) masih tinggi.

Veteran DAP, Lim Kit Siang, berkata Ahli Parlimen Rembau itu perlu memberikan jawapan mengenai situasi berkenaan dan bukannya mengelak.

Menurutnya, Khairy dalam kenyataan di Kota Kinabalu, semalam mengatakan angka kematian Covid-19 yang tinggi tidak menunjukkan angka kematian yang sebenar dalam tempoh 24 jam seperti yang dilaporkan.

“Khairy perlu betul-betul memberikan jawapan mengenai mengapa kadar kematian dan kematian di luar hospital masih tinggi dan bukannya mengelak.

“Beliau menjelaskan yang angka itu kadang-kalanya berkumpul untuk beberapa hari memandangkan pihak berkuasa memerlukan masa untuk mengesahkan punca kematian, terutamanya di tempat seperti Lembah Klang yang mencatatkan kadar vaksinasi yang tinggi.

“Khairy mengatakan yang kebanyakan ‘backlog’ ini adalah kerana jumlah BID yang perlu disiasat punca kematiannya sebelum mereka boleh dilaporkan dalam sebahagian daripada statistik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kit Siang mendakwa, kenyataan Menteri Kesihatan itu telah menimbulkan lebih banyak persoalan di kalangan rakyat termasuk pengamal perubatan yang ditanya mengenai perkara berkenaan.

“Sekiranya ada banyak backlog, adakah ianya disebabkan kegagalan menteri sebelumnya? Adakah KJ sedang cuba mengatakan menteri sebelum ini tidak menjalankan kerja dengan baik dan KJ hanya sedang mengemas kini benda yang ditinggalkan?

“Tetapi Ketua Pengarah Kesihatan masih orang yang sama. Tolong tanya KP mengapa ada backlog? Sekiranya terdapat backlog, berapa anggaran jumlahnya?

“Berapa banyak kematian yang terkumpul? Adakah perkara ini bermaksud kematian Covid kita sekarang hampir 30,000 dan bukannya 18,000?” katanya yang berkongsi persoalan dibangkitkan seorang pengamal perubatan mengenai perkara itu.

Beliau berkata, sejak Khairy mengangkat sumpah sebagai Menteri Kesihatan pada 30 Ogos lalu, terdapat 680 kes BID yang dicatatkan.

“Adakah Khairy mengatakan yang angka ini dikurang kira dan situasi sebenar adalah jauh lebih teruk, menghampiri 1,000 kes BID? Kita tunggukan penjelasan daripada Khairy mengenai perkara ini,” katanya.

Menurutnya, data Covid-19 semalam adalah yang terbaik, memberikan harapan yang peningkatan kes dan kematian akibat Covid-19 ini akhirnya dapat dikawal, walaupun perkara ini masih belum kukuh. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here