PEMUDA Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan menzahirkan sokongan penuh terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Ketuanya, Mohd Hanis Alimin menegaskan, kemelut politik yang tercetus baru-baru ini tidak sedikitpun akan mengganggu gugat kestabilan pentadbiran kerajaan PH Negeri Sembilan.
“Sehingga hari ini, pengurusan pentadbiran yang dipamerkan begitu telus dengan akauntibiliti yang cermat dan tidak berlakunya sebarang salah guna kuasa.
“Ini juga diperakui Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, melalui titahnya dalam sesi pembukaan Sidang DUN Jumaat lalu, bahawa kerajaan Negeri Sembilan, pimpinan Aminuddin sangat cemerlang dengan berusaha mengutip hasil ke paras membanggakan iaitu 98 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Hanis menjelaskan, kerajaan Negeri Sembilan juga telah berusaha gigih mengawal Covid-19 di samping mengeluarkan peruntukan RM5 juta ke seluruh negeri, melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan penyelaras.
“Tahniah dan syabas juga diucapkan kepada kerajaan Negeri Sembilan di bawah kepimpinan Amninuddin bersama kakitangan awam khususnya ‘frontliner’ atas kejayaan mencapai Imuniti kelompok di mana 669,260 orang iaitu 82.18 peratus selesai divaksin.
“Ini suatu pencapaian yang amat membanggakan,” katanya.
Bagaimanapun Mohd Hanis berkata, kemelut politik yang melanda Negeri Sembilan membabitkan masalah dalaman PKR di negeri itu.
“Pemuda PH Negeri Sembilan berpandangan bahawa krisis dalaman parti yang sedang melanda PKR Negeri Sembilan ini perkara biasa dalam mana-mana parti politik sekalipun.
“Diharapkan agar krisis ini diselesaikan dengan harmoni dalam suasana kekeluargaan sesegera mungkin agar fokus utama kerajaan negeri untuk mensejahterakan rakyat tidak akan terpesong jauh,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan tersebar kenyataan media di laman sosial berkaitan segelintir pemimpin PKR negeri yang didakwa hilang kepercayaan terhadap Aminuddin.
Ketua Penerangan PKR negeri, Yusuf Tapar dilaporkan berkata, Majlis Pimpinan Negeri (MPN) perlu membuat rombakan.
Beliau mendakwa Aminuddin selaku Pengerusi MPN negeri tidak melakukan penyusunan dan koordinasi berkesan untuk menarik sokongan pengundi terutama di kawasan DUN yang perlu diberi tumpuan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. – Malaysiapost

