BKC: PM minta Kementerian Kewangan atasi masalah penerima tiada akaun

0
2

KEMENTERIAN Kewangan diminta memastikan pengagihan Bantuan Khas Covid-19 (BKC) khususnya kepada penerima di pedalaman, jauh daripada akses perbankan dan tidak memiliki akaun bank agar berjalan dengan lancar.

Perkara itu mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang meminta Kementerian Kewangan menggunakan mekanisme sesuai bagi mengatasi masalah berkenaan.

“Menurut data Kementerian Kewangan, terdapat kira-kira 708,223 penerima BKC yang tidak mempunyai akaun bank.

“Justeru Perdana Menteri mahu baucar tunai yang disediakan Kementerian Kewangan sampai ke tangan penerima terlibat tanpa sebarang kelewatan,” kata kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO), hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri meninjau sendiri secara dalam talian proses pembayar BKC Fasa 1 yang telah dikreditkan kepada 10 juta penerima bermula hari ini.

Perdana Menteri turut mengambil peluang berinteraksi dengan penerima BKC di beberapa cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) iaitu di Putrajaya, Sabah, Sarawak, Kelantan, Pahang, Perlis, dan Johor.

Perdana Menteri turut mendapatkan laporan secara langsung daripada Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz yang turun padang dan meninjau sendiri proses pembayaran di BSN Putrajaya.

Pada masa sama, beliau menerima maklum balas proses pengagihan BKC daripada Timbalan Menteri Kewangan 1, Mohd Shahar Abdullah yang meninjau proses pembayaran di BSN Triang, Bera, Pahang.

“Perdana Menteri berharap agar bantuan ini, dapat meringankan beban Keluarga Malaysia yang terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here