Vaksinasi 18 tahun ke bawah di Sabah bila capai 80% imuniti kelompok

0
2

PROGRAM vaksinasi golongan remaja berusia 18 tahun ke bawah di Sabah akan dilaksanakan selepas negeri itu mencatatkan 80 peratus imunisasi kelompok yang dijangka boleh dicapai pada Oktober ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata bagi mencapai sasaran tersebut, pihaknya akan memperbanyakkan Program Jangkauan (Mobile Outreach Program).

“Kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah akan merancang lebih 130 program jangkauan dalam September dan Oktober ini, melibatkan program vaksinasi di luar untuk kita mencapai sasaran yang telahpun ditetapkan.

“Mungkin pada Oktober nanti, bila jumlah populasi dewasa sudahpun mencapai hampir 80 peratus, maka saya maklumkan kepada Ketua Menteri bahawa kita boleh mulakan vaksinasi untuk golongan remaja di Sabah.

“Insya-Allah ia boleh dilaksanakan pada Oktober nanti bila kita sudah mencapai sasaran yang baik dari segi vaksinasi bagi golongan dewasa.

“Tumpuan kita adalah pada kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah yang berisiko tinggi. Kami mempunyai garis panduan klinikal yang dikemas kini dan mereka yang berumur 16 hingga 17 tahun akan diutamakan terlebih dahulu, “katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Sabah hari ini.

Mengenai vaksin dos tunggal jenama Cansino, beliau berkata, negara hanya akan menerima 300,000 dos bulan ini kerana permintaan global yang terhad dan tinggi.

“Sebanyak 100,000 dos (diterima) minggu depan dan 200,000 pada akhir bulan ini, jadi tambahan 300,000 sahaja pada September disebabkan bekalan tidak cukup di peringkat antarabangsa.

“Kita akan buat pengagihan sepatutnya kepada Sabah. Pada Oktober, kita jangka akan terima lebih banyak Cansino dan sudah pasti Sabah akan menjadi negeri keutamaan disebabkan keperluan untuk vaksin dos tunggal ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here