Covid-19: KKM hantar peralatan, ubat-ubatan tambahan ke Sabah

0
2

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan menghantar peralatan perubatan tambahan ke Sabah merangkumi silinder oksigen, Oxygen Regulator dan ubat-ubatan Covid-19.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata peralatan perubatan tambahan itu dijangka tiba pada 7 September melalui kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau berkata ia antara langkah intervensi yang akan dilaksanakan termasuk kesiapsiagaan dari segi kemudahan, bantuan peralatan dan sumber manusia susulan trend peningkatan jangkitan Covid-19 di Sabah.

“KKM juga akan menyediakan modular unit rawatan rapi (ICU) dengan kapasiti 10 katil ICU di Hospital Tawau dan dijangka mula beroperasi pada hujung September ini.

“Bilangan ambulans juga dipertingkatkan melalui kaedah penyewaan sementara menunggu proses perolehan ambulans selesai mengikut tatacara perolehan semasa,” katanya menerusi kenyataan.

Selain itu, Khairy berkata Sabah juga akan diberikan tumpuan khas bagi pemberian vaksin Covid-19 menerusi 224 Pusat Pemberian vaksin (PPV) selain meningkatkan aktiviti vaksinasi bagi vaksin CanSino melalui program jangkau luar di pedalaman dan sukar diakses bermula 27 Ogos lalu sehingga hujung September ini.

“Bagi memastikan penggunaan sumber manusia yang optimum di semua fasiliti kesihatan KKM termasuklah di lapangan, sejumlah 97 daripada 150 pegawai lantikan tetap telah diarahkan melapor diri di Sabah pada 2 Ogos dan 1 September 2021.

“Seramai 50 Pegawai Perubatan tambahan juga akan ditawarkan pelantikan tetap bermula 13 September 2021,” katanya.

Terdahulu beliau bersama pengurusan tertinggi KKM mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sebelum menghadiri Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Negeri Sabah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here