MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) meminta orang ramai tidak bimbang jika terlupa menekan butang daftar keluar atau ‘check-out’ di aplikasi MySejahtera.
Ini kerana menurut MKN, pengguna aplikasi itu akan didaftarkan keluar secara automatik selepas mengimbas kod QR di lokasi baharu.
MKN memaklumkan demikian menerusi hantaran Facebooknya susulan penambahan ciri baharu iaitu butang ‘check-out’ dalam MySejahtera.
“Bagi menambah baik pengesanan kontak, butang ‘daftar keluar’ (check-out) telah ditambah di MySejahtera. Anda hanya perlu menekan butang tersebut apabila anda meninggalkan sesuatu lokasi.
“Jika terlupa, jangan bimbang.Anda akan didaftar keluar apabila anda check-in di lokasi baharu,” kata hantaran itu hari ini.
Sebelum ini timbul dakwaan kononnya individu yang gagal menekan butang ‘check-out’ pada aplikasi MySejahtera akan didenda RM1,500.
Namun begitu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan semalam menafikan sebaran maklumat tersebut.
Ia selepas tular infografik palsu di WhatsApp yang turut memaparkan foto Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang mendakwa kononnya individu yang tidak menekan butang daftar keluar menggunakan MySejahtera akan didenda RM1,500.
Bagaimanapun, menurut KKM, penggunaan butang daftar keluar masih wajib ditekan dan menasihatkan orang ramai mematuhi peraturan baharu itu serta sentiasa mengemas kini aplikasi Mysejahtera semasa masuk dan keluar sesuatu premis. – Malaysiapost

